Molnupiravir persediaan fasa endemik

PUTRAJAYA 7 Okt. – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) bagi pembelian ubat antiviral Molnupiravir dengan Merck Sharp & Dohme bagi merawat pesakit Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata menerusi perjanjian berkenaan, kerajaan bersetuju membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap (patient courses).

Perolehan itu katanya adalah sebagai persediaan negara dalam memulakan peralihan ke fasa endemik iaitu hidup bersama Covid-19 dengan menambah pilihan rawatan inovatif baharu sebagai ‘senjata’ melawan virus.

“Kajian yang dijalankan oleh Merck Sharp & Dohme mendapati Molnupiravir mampu menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus selain turut berkesan terhadap varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu.

“Bagaimanapun, ingin dinyatakan walaupun terdapat ubat Molnupiravir, ia bukan bermakna vaksin tidak diperlukan lagi kerana fungsi pelalian berkenaan adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk,” katanya.

Khairy menegaskan, ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan sebaliknya ia hanya bermanfaat kepada individu yang sudah dijangkiti.

Kita memerlukan kedua-dua kaedah (vaksin dan ubat) untuk menurunkan beban penyakit Covid-19, sekali gus memberikan impak yang lebih besar dalam usaha pencegahan dan kawalan penularan jangkitan virus.

Related posts

Leave a Comment