Singapura buka sekolah Isnin

SINGAPURA 7 Okt. – Sesi persekolahan murid sekolah rendah secara bersemuka akan bermula secara berperingkat mulai Isnin ini, 11 Oktober.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, berikutan itu, pembelajaran di rumah (HBL) akan berakhir pada minggu ini

Menurut kementerian itu lagi, murid-murid akan pulang ke sekolah secara berperingkat bagi memastikan langkah-langkah pengurusan selamat boleh dilaksanakan dengan berkesan.

Murid-murid Darjah 3 hingga 6 akan kembali ke sekolah mulai Isnin, manakala murid-murid Darjah 1 dan 2 pula akan meneruskan HBL sehingga Selasa dan pulang ke sekolah pada Rabu.

Sekolah-sekolah Pendidikan Khas akan diberikan perincian lanjut mengenai kepulangan murid masing-masing secara berperingkat.

Ibu bapa murid Darjah 1 hingga 5 akan dikehendaki melakukan ujian pantas antigen (ART) ke atas anak-anak mereka di rumah pada 8 Oktober atau 9 Oktober sebelum mereka kembali ke sekolah dan memaklumkan hasil ujian tersebut menerusi pautan yang akan dihantar kepada mereka.

Kegiatan Ko-Kurikular (CCA) dan kegiatan luar darjah yang lain akan terus digantung untuk semua peringkat, termasuk sekolah menengah, Maktab Rendah dan Institut Milennia.  

Related posts

Leave a Comment