Covid-19: Singapura siap kapasiti 3,000 kes

SINGAPURA 6 Okt. – Berikutan peningkatan kes Covid-19, Singapura sedang mempertingkatkan kapasiti penjagaan kesihatan bagi menangani 3,000 kes setiap hari, malahan menimbangkan kapasiti itu dipertingkat kepada 10,000 setiap hari.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata, apabila varian Delta yang lebih mudah dijangkiti mula menular, Singapura sudah bersedia untuk menangani 1,500 kes setiap hari, dari segi katil hospital dan penjagaan rawatan masyarakat.

Bagaimanapun katanya,  proses program pemulihan di rumah belum lagi bersedia sepenuhnya apabila kes mula meningkat mendadak.

“Dari segi perancangan kapasiti, tenaga manusia, kami berusaha rancang awal. Tetapi apa yang tidak berjalan begitu lancar ialah pemulihan di rumah.

“Aduan mengenai proses hubungan, panggilan yang tidak dapat ditembusi, bukan kerana semua katil penuh, tetapi proses HRP (program pemulihan di rumah) tidak bersedia sepenuhnya,” kata Ong.

Beliau berkata demikian di Parlimen semalam bagi menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) pembangkang He Ting Ru (GRC Sengkang) mengenai persediaan Singapura menghadapi Covid-19 sebagai endemik di negara ini.

Dalam jawapannya, Ong berkata seramai 9,800 individu sedang menjalani pemulihan di rumah, dan lebih 2,800 telah keluar dari program itu hingga 3 Oktober lalu.

Katanya, setiap hari, hampir separuh daripada individu yang dijangkiti akan menjalani pemulihan di rumah, dan bilangan ini akan meningkat.

Sementara itu, khemah sementara mula didirikan di beberapa hospital di republik ini susulan peningkatan kes Covid-19, bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pesakit lain.

Hospital Khoo Teck Puat (HKTP) mula menerima pesakit Covid-19 di kawasan jagaan pesakit sementara, sama seperti di Hospital Masyarakat Yishun yang terletak bersebelahan.

Antara lain tempat itu digunakan bagi pesakit yang memerlukan jagaan perubatan sementara menunggu untuk dipindahkan ke pusat rawatan atau pusat jagaan masyarakat.

Sejak akhir bulan lalu, beberapa hospital di sini menyediakan kawasan sementara seumpamanya untuk menerima bilangan lebih tinggi pesakit Covid-19 yang tiba di jabatan kecemasan.

Pihak berkuasa berkata mereka sedang menyediakan katil di luar hospital bagi pesakit berisiko lebih tinggi yang perlu diawasi, dengan 3,700 katil di sembilan kemudahan rawatan Covid-19 dijangka siap pada akhir bulan ini.

Related posts

Leave a Comment