Separuh pemandu Grab gantung kunci?

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan e-hailing Grab sebelum ini dilaporkan mempunyai 200,000 pemandu yang aktif sebelum penguatkuasaan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Bagaimanapun berapakah yang tinggal jika Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa  hanya 91,978 pemandu perkhidmatan e-hailing berjaya mendapat Lesen PSV setakat Isnin lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata seramai 42,818 calon lagi gagal dengan kebanyakannya telah mengambil peperiksaan semula PSV.

“Jumlah terkumpul lesen PSV yang masih aktif ialah 358,944, manakala jumlah PSV untuk pemandu teksi ialah 28,860 orang,” katanya ketika sesi soal jawab lisan bagi pertanyaan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) mengenai bilangan pemandu e-hailing yang berjaya dan gagal mendapat lesen PSV.

Grab sebelum ini mengambil pelbagai langkah untuk membantu pemandunya mendapatkan PSV. Antaranya mencadangkan kelas online 6-jam untuk memudahkan pemandu.

Di samping itu, Grab turut memperkenalkan pakej Berat Sama Dipikul di mana mereka memberi subsidi kepada pemandu seperti latihan PSV percuma, pemeriksaan kesihatan percuma serta bantuan memohon lesen PSV selepas lulus ujian. Grab memberi 70% subsidi kepada pemandu untuk mendapatkan lesen PSV.

Tetapi selepas semua bantuan tersebut, Grab menyatakan hanya 10% pemandu yang aktif, berjaya mendapatkan lesen PSV. Beberapa alasan pemandu antaranya kekangan masa kerana bekerja bagi pemandu sambilan, tempat latihan dan ujian yang terhad, serta batasan proses permohonan di pelbagai jabatan kerajaan.

Statistik Grab menunjukkan, rakan pemandu Grab menyediakan perkhidmatan pengangkutan sebanyak 1 juta perjalanan setiap hari. Secara purata, setiap penumpang akan mendapat pengangkutan yang ditempah dalam masa 6 minit

Adakah pengurangan pemilik PSV ini akan menyebabkan kadar tambang meningkat, menyamai perkhidmatan teksi? Tempoh menunggu juga dijangka mengambil masa di kawasan tertentu pada masa tertentu.

Related posts

Leave a Comment