SPR bincang PRN Melaka

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker, Ab Rauf Yusoh berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kata Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, Pilihan Raya Negeri akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.

“SPR akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya itu. Tarikh mesyuarat akan dimaklumkan kemudian,” katanya hari ini.

Ab Rauf sebelum itu dalam kenyataannya berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam berkenan membubarkan DUN berkuat kuasa semalam.

Katanya, Mohd Ali Mohd bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Keempat Belas berkuatkuasa 4 Oktober 2021.

Jelasnya, Ketua Menteri ,Sulaiman Md Ali telah mengutus surat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka semalam.

“Susulan daripada sidang media tersebut, YAB Ketua Menteri Melaka telah mengutus surat kepada Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk memaklumkan bahawa empat orang Ahli Yang Berhormat tersebut telah hilang kepercayaan kepada YAB Ketua Menteri seterusnya pada masa yang sama meminta perkenan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Mohd Ali, membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Oktober 2021 (Isnin).

Empat ADUN yang mengumumkan hilang  kepercayaan, sekali gus menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri adalah bekas Ketua Menteri, Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Related posts

Leave a Comment