Singapura mansuh Akta Hasutan

SINGAPURA 5 Okt. – Parlimen hari ini memansuhkan Akta Hasutan yang digubal 83 tahun lalu, yang disifatkan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam sebagai “perundangan ekstrim” dengan beberapa peruntukan relevan digantikan dengan undang-undang lain yang lebih tersasar.
Akta tersebut antara lain menjadikannya satu kesalahan jenayah bagi kelakukan yang mempunyai unsur hasutan dan menggalak kebencian terhadap Pemerintah.
Shanmugam semasa berucap mengenai Rang Undang-Undang (Pemansuhan) Hasutan berkata, akta dari zaman penjajahan Britain itu kini tidak lagi relevan dan sememangnya sudah lama tidak digunakan,.
Beliau yang juga Menteri Undang-Undang berkata: “Kecenderungan untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintah tidak seharusnya dianggap sebagai satu perbuatan jenayah.
Saya fikir, jika ia benar, ramai orang termasuk ramai dalam Dewan ini akan dianggap sebagai penjenayah,”.
Menurut beliau, akta itu tidak dimansuhkan lebih awal kerana beberapa peruntukannya masih relevan.
Justeru dalam tempoh beberapa tahun lalu, undang-undang baru diperkenalkan termasuk Akta Pentadbiran Kehakiman (Perlindungan) 2016, dan Akta Mengekalkan Keharmonian Agama, yang meliputi kesalahan bertindih dengan Akta Hasutan secara lebih bersasar.
Shanmugam berkata satu aspek Akta Hasutan yang bertujuan untuk memastikan perpaduan sosial antara kumpulan berbeza-beza, terus menjadi relevan.
Akta Hasutan menjadikannya satu kesalahan jenayah bagi kelakuan yang menggalak perasaan yang menyakitkan hati dan permusuhan antara kaum atau agama.
Justeru, Parlimen juga meminda Kanun Keseksaan untuk menjaga perpaduan sosial antara kumpulan berbeza di Singapura, seperti antara status sosioekonomi atau bahasa yang berlainan.

Related posts

Leave a Comment