PH Melaka kena tunggu Jumaat

MELAKA 5 Okt. – Pakatan Harapan (PH) terpaksa menunggu sehingga Jumaat ini untuk meneruskan rancangan membentuk semula kerajaan negeri Melaka selepas kerajaan BN ‘tumbang’ semalam.

Ini berikutan tiada sebarang kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, boleh dilakukan oleh mana-mana wakil parti politik hingga Khamis ini.

Menurut laporan Bernama, Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri sejak 30 September lalu.

Setiausaha Khas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Nur Azmi Ahmad menjelaskan

Mohd Ali menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19, dan tempoh kuarantin kendiri itu akan berakhir pada hari berkenaan.

“Untuk kunjungan hormat, keputusan bergantung pada Tun (Mohd Ali) pada hari beliau masuk semula ke pejabat.

“Jika beliau masuk ke pejabat pada Jumaat ini, mungkin beliau akan memberi keputusan untuk berjumpa atau tidak, hari itu. Semuanya bergantung pada keputusan beliau,” katanya

Nur Azmi turut mengesahkan menerima surat permohonan kunjungan hormat ke atas Mohd Ali, daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, semalam, bagi membincangkan senario politik semasa Melaka.

Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan hilang kepercayaan, sekali gus menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron (BN-Sungai Udang),  Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Perkembangan itu secara teknikal menyaksikan Kerajaan Melaka tumbang kerana hilang majoriti sokongan.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi bawah BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (1).

Related posts

Leave a Comment