SEPANG 4 Julai – Selepas dinasihatkan soal pahala dan dosa, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Puad Zarkashi membalas ingatan Rafizi Ramli dengan umurnya yang hampir mencecah 50 tetapi masih mahu terus menjadi penghasut.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu dalam hantaran di Facebooknya turut berkongsi hadis ciri-ciri orang munafik yang ditujukan kepada bekas Menteri Ekonomi itu.
“Rafizi menasihati saya supaya lebih baik fikirkan pahala dan dosa kerana saya berumur 20 tahun lebih tua dari dia. Saya kongsikan satu hadis ciri ciri orang munafik. “Bila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia tidak tunaikan dan bila diberi amanah dia khianati”.
Rafizi akui kerja dia ialah menghasut. Kerja penghasut mestilah berbohong. Dia banyak berjanji. Hapus tol dan turun harga kereta. Apakah tertunai? Dia diberi amanah jawatan menteri. Kenapa letak jawatan. Tidakkah itu mengkhianati aku janji pada rakyat?
Sejak muda masuk politik dia berjanji dan jadi penghasut. Patutkah apabila umur hampir mencecah 50 sambung balik kerja penghasut dan janji palsu?,” kata Puad.
Menurut Puad, komen balas Rafizi panjang lebar susulan baru-baru ini beliau menasihatkan Ahli Parlimen Pandan itu supaya jangan berlebihan membakar, takut dia berakhir masuk penjara.
“Rafizi yakin dia bersih. Itu cakap dia. Semua boleh dicari. Bukan sahaja rasuah tetapi income tax dan isu isu peribadi. Dia pelik Mahkamah beri DNAA kepada Najib.
Rafizi lupa kes dia fitnah Tabung Haji ada prima facie. Dalam kes BAFIA dia dihukum penjara 30 bulan. Tetapi kedua dua kes itu digugurkan bila PH berkuasa. Dalam kes OSA, hukuman penjara 18 bulan tukar kepada bon berkelakuan baik. Tetapi dia tetap bersalah.
Rafizi juga lupa Invoke miliknya telah disiasat oleh SPRM sebelum PRU ke 15. Dia ugut, kalau PH menang dia akan kejar Azam Baki. Sudah kejar ke belum? Takut dia yang kena kejar,” kata Puad.
Sebelum ini Rafizi menasihatkan Puad supaya, jangan bimbangkan pengakhiran politiknya sebaliknya lebih baik memikirkan amalan dan dosa pahala masing-masing, lebih-lebih lagi jika umur itu 20 tahun lebih tua daripadanya (Rafizi).
Menurut Rafizi, selama ini bertahun-tahun Puad mencuitnya tetapi tidak pernah dibalas bagi menghormati tata cara apabila duduk bersama dalam kerajaan.
Katanya, sebagai pimpinan kanan Keadilan (ketika menjadi Timbalan Presiden PKR) beliau tidak wajar menghentam secara terbuka seorang wakil rakyat dari UMNO dan pada masa sama memahami Puad marah kepadanya sampai bila-bila.
Nnnn