Australia belum terima pelancong

CANBERRA: Australia tidak akan menerima kemasukan pelancong antarabangsa sehingga tahun depan, kata Perdana Menteri Scott Morrison.

Bagaimanapun keutamaan tinggi diberi kepada pekerja asing berkemahiran dan pelajar-pelajar.

Minggu lalu, beliau menggariskan rancangan untuk membenarkan warga dan penduduk tetap yang sudah divaksin untuk melakukan penerbangan ke luar negara mulai November selepas larangan perjalanan yang ketat dilaksanakan Mac 2020.

Katanya, selepas warga Australia, keutamaan seterusnya adalah pekerja asing yang berkemahiran dan pelajar antarabangsa yang memasuki Australia. Selepas itu, barulah ia akan menyambut ketibaan pelancong antarabangsa.

Morrison berkata Australia dijangka akan menepati sasaran vaksinasinya pada Selasa dengan 80 peratus penduduk berusia 16 tahun ke atas dijangka sudah mendapatkan suntikan kedua, sekali gus membuka laluan kepada negara itu untuk membuka semula sempadannya.

Imigrasi Australia berada pada tahap terendah sejak Perang Dunia Kedua disebabkan oleh sekatan-sekatan pandemik.

Pandemik Covid-19 turut membawa kesan buruk terhadap universiti-universiti Australia yang sangat bergantung kepada yuran pelajar antarabangsa.

Sektor pendidikan bimbang pelajar akan mendaftar di negara-negara lain jika Australia tidak membuka semula sempadannya.

“Kami akan menyambut ketibaan pelancong antarabangsa juga, saya yakin, bermula tahun depan,” kata Morisson kepada stesen televisyen Seven Network.

Related posts

Leave a Comment