Rentas daerah ikut zon di Sabah

KOTA KINABALU 28 Sept. – Kerajaan Sabah akan membenarkan sistem rentas daerah mengikut enam zon mulai 1 Oktober ini, kata jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan Covid-19, Masidi Manjun.

Bagaimanapun kebenaran itu bersyarat iaitu semua daerah dalam setiap zon mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk lengkap menerima vaksin.

“Kita bercadang balik kepada sistem zon mulai 1 Oktober ini dengan syarat semua daerah dalam setiap zon mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk lengkap vaksin,” katanya dalam ciapan di twitter.

Enam zon yang ditetapkan, iaitu Zon 1 ialah Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar; manakala Zon 2 ialah Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.

Zon 3 membabitkan Kudat, Kota Marudu dan Pitas; Zon 4 ialah Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod; Zon 5 ialah Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan serta Zon 6 ialah Keningau, Tambunan dan Tenom.

Khamis lalu, pada ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 , Masidi memaklumkan Sabah akan mula membenarkan aktiviti rentas daerah mengikut zon mulai 1 Oktober ini.

Katanya, keputusan itu selepas pembincangan dibuat bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin.

“Kami sepakat agar pada masa terdekat ini, Sabah kembali kepada sistem zon (rentas daerah) dengan syarat 60 peratus populasi dewasa di setiap zon divaksin.

“Bagaimanapun, saya juga mencadangkan agar kebenaran rentas daerah di seluruh Sabah akan dibenarkan selepas tahap vaksinasi mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus,” katanya.

Related posts

Leave a Comment