Kes turun di Thailand 11,786

BANGKOK 14 Sept. – Kes jangkitan Covid-19 terus menunjukkan penurunan di Thailand apabila merekodkan 11,786 kes baharu, angka terendah direkodkan sejak  20 Julai lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,406,542.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, jumlah kematian pula meningkat kepada 14,621 orang selepas 136 lagi dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

Terdapat 11,515 kes dalam kalangan orang awam termasuk lima kes import direkodkan manakala 271 lagi dalam kalangan banduan di penjara .

Kes kematian melibatkan individu berusia antara 14 dan 98 tahun termasuk dua warga Myanmar, dua Kemboja dan seorang Korea Selatan dengan Bangkok terus merekodkan kematian tertinggi dengan 28 orang.

Bangkok juga merekodkan kes positif tertinggi dengan 2,788 orang diikuti 955 kes di Chon Buri, 811 di Samut Prakan, 542 di Samut Sakhon dan 482 di Nonthaburi.

Kes import pula melibatkan ketibaan dari Austria (1), Switzerland (1), Malaysia (1), Laos (1) dan Kemboja (1).

Semalam, sebanyak 14,738 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan 1,262,896 orang pulih.

Pada masa yang sama sebanyak 129,025 pesakit menerima rawatan di hospital termasuk 4,080 pesakit kritikal dan 818 bergantung kepada bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment