Wanita Orang Asli ketuai JAKOA

PUTRAJAYA 14 Sept. – Buat pertama kali, wanita Orang Asli, dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkuat kuasa esok.

Sapiah Mohd Nor, 56 melakar sejarah menjadi wanita Orang Asli pertama mengetuai jabatan yang dikhaskan untuk Orang Asli itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid, ketika mengumumkan perkara itu, hari ini, berkata pelantikan Sapiah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan surat pelantikannya diserahkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen tengah hari ini.

“Pelantikan ini menjadi sejarah kepada JAKOA apabila dipimpin golongan wanita, sekali gus meningkatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Sapiah, adalah Orang Asli keturunan Suku Semai berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan universiti sama pada 2001.

Menyertai perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Tadbir pada 1991 dan pernah berkhidmat di beberapa kementerian serta jabatan dalam tempoh 30 tahun itu, Sapiah sebelum pelantikan terkini adalah pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

Related posts

Leave a Comment