181 SOP dikurangkan kepada 10

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Kerajaan di peringkat akhir untuk mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya kepada 10 SOP berbanding 181 yang ada ketika ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Tun Hussein berkata, proses mengurangkan SOP itu dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu.

Ketika ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa PPN. Menerusi usaha memperkemaskan semula SOP berkenaan, matlamatnya adalah untuk mengurangkannya hanya kepada 10 SOP.

“Langkah memperkemas SOP-SOP yang telah digunapakai selama lebih setahun ini tentunya akan mengambil sedikit masa namun kerajaan komited untuk menyelesaikannya sebelum peralihan ke fasa endemik,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Menurut Hishammuddin, kelonggaran baharu yang dipersetujui secara prinsip, termasuk kemungkinan rentas negeri akan diumumkan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

“Kelonggaran baharu sudah dipersetujui secara prinsip, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan umum dalam tempoh terdekat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment