28 positif tak boleh ke Parlimen

PUTRAJAYA 13 Sept. – Dua ahli Parlimen dan seorang Senator adalah antara 28 individu disahkan positif Covid-19 sebelum persidangan Parlimen bermula hari inj, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dua Ahli Parlimen terbabit disahkan positif menerusi saringan di luar Kompleks Parlimen manakala Senator dan 25 kakitangan Parlimen disahkan positif selepas saringan dijalankan semalam dan kelmarin.

Saringan dilakukan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Kompleks Parlimen semalam dan kelmarin manakala dua Ahli Parlimen disahkan positif dalam ujian saringan di luar kompleks.

Daripada jumlah itu, 15 daripada mereka disahkan Covid-19 antara 27 Mei hingga 1 September lalu manakala 13 individu lagi baru saja dikesan positif buat kali pertama ketika saringan pada 10 sehingga 11 September lalu.

Berikutan itu 13 individu yang kali pertama disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen, diasingkan dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam kenyataannya, beliau berkata bagi 15 individu yang positif pula, kes mereka akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Mereka juga tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh KKM. Keputusan siasatan ini akan dimaklumkan segera selepas dimuktamadkan.

Dr Noor Hisham berkata, mengambil kira situasi semasa Covid-19 ketika ini dan keputusan saringan dijalankan sebelum persidangan Parlimen, KKM menasihatkan semua individu yang akan hadir ke Parlimen mematuhi SOP dan peraturan sedia ada.

Katanya, ia untuk memastikan persidangan dapat berjalan lancar, selamat serta penularan Covid-19 dapat dicegah ketika Parlimen bersidang.

Related posts

Leave a Comment