‘Bagaikan baru terjaga dari tidur’

RAMAI. Di sana sini ramai orang. Begitulah suasana di atas jalan raya, pusat membeli-belah, pantai, taman rekreasi serta premis makanan. Suasana luar biasa setelah tiada lagi sekatan pergerakan dikenakan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Suasana sama juga boleh dirasai di negeri lain yang sudah beralih fasa. Masing-masing bagaikan baru terjaga dari tidur, keluar dari tempat persembunyian, pertapaan atau ‘sarang’ setelah terperap begitu lama akibat Covid-19.

Tempat atau premis berkenaan ‘menyambut’ kehadiran begitu ramai orang dengan pelbagai syarat atau prosedur operasi standard (SOP), itu pun bergantung kepada pemilik premis. Ada yang patuh dan ada yang masih ‘bertolak ansur’.

Pusat membeli belah, pantai, taman rekreasi, premis makanan atau restoran tidak mengehadkan kehadiran orang ramai berbanding masjid dan surau yang masih mengehadkan kehadiran jemaah dengan SOP yang ketat.

Di sesetengah negeri ketika ini, ada masjid dan surau hanya mengehadkan 50 orang jemaah untuk solat lima waktu dan 100 orang untuk solat Jumaat ditambah pula dengan syarat dua dos vaksin serta penjarakan fizikal satu meter antara jemaah.

Akibatnya, timbul isu dua darjat bukan sekadar membezakan antara suasana di tempat tumpuan dan masjid/surau tetapi juga apabila wujud dakwaan ‘layanan’ kepada VIP untuk masuk ke masjid bagi solat Jumaat.

Dalam meraikan ‘kebebasan’ peralihan fasa ini, adalah menjadi tanggungjawab setiap individu mematuhi norma baharu kehidupan. Belajarlah untuk mendisiplinkan diri dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sekurang-kurangnya disiplinkan diri setiap kali keluar perlu memakai pelitup muka dan hidung, jaga penjarakan fizikal dan kerap membasuh tangan.

Jangan terlalu ghairah. Ingat kes positif di negara kita masih tinggi. Begitu juga dengan jiran kita seperti Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Kita masih dalam fasa pandemik. Wabak ini belum berakhir. Virus ini menular secara berleluasa dalam masyarakat di seluruh dunia. Kita tidak tahu varian apa pula yang akan datang, sejauh mana kekebalan vaksin atau berapa lama ia mampu bertahan.

Justeru jangan pandang remeh perkara berkaitan SOP lebih-lebih lagi kita terpaksa hidup bersama virus Covid-19. Tiada sesiapa yang kebal terhadap Covid-19 ini sama ada yang sudah dua dos vaksin, satu dos atau tiada sebarang dos.

Sebelum kita mengalah dan menyerah kepada takdir atau qada dan qadar, berusaha dan berikhtiarlah untuk mempertahan diri dari ‘dibolosi musuh’ yang tidak pernah kenal atau memilih mangsa. Sesiapa sahaja terdedah kepada Covid-19.

Sampai bila penguat kuasa seperti polis, tentera atau pihak berkuasa tempatan dapat memantau atau mengawal pergerakan orang ramai yang bebas bergerak ke sana sini? Bukankah sudah lama kita diperingatkan “kita jaga kita”?

Tidak bermakna kita tidak boleh keluar atau bergerak ke sana sini kerana sampai bila kita sanggup berkurung? Keluarlah dari ‘persembunyian’ tetapi biarlah ada tujuannya, bukan sekadar suka-suka ‘melepas geram’ setelah lama ‘dikurung’.

Orang ramai di samping menjaga SOP harus pandai mengatur masa mereka di luar, biar pergerakan mereka itu ada tujuan atau matlamatnya. Hadkan masa atau tempoh berada di luar lebih-lebih lagi di kawasan sesak.

Benar sesiapa pun ada hak terhadap masanya. Boleh berjam-jam minum teh tarik dan sekeping roti canai tetapi tindakan mereka itu juga boleh menyusahkan orang lain yang akhirnya gagal menepati slogan “lindung diri lindung semua”.

Hargailah ‘kebebasan’ ini selepas kita ‘dikurung’ dan hilang pelbagai nikmat seperti solat berjemaah, jamuan kenduri atau majlis kahwin, berhari raya, balik kampung, melancong dan pelbagai lagi kebebasan yang dinikmati selama ini.

Ingat Covid-19 tidak mudah mengalah. Tidak seperti manusia yang sering mencari salah, menuding jari antara satu sama lain. Besar harapan kita sekatan yang dikenali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sewaktu dengannya tidak datang lagi.

Related posts

Leave a Comment