14,029 kes baharu di Thailand

BANGKOK 12 Sept. – Thailand merekodkan 14,029 kes baharu Covid-19 dan 180 kematian hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan 1,382,173 kes dan 14,353 orang meninggal dunia.

Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat 13,753 kes dalam kalangan penduduk awam (termasuk empat kes import) dan 276 dalam kalangan banduan.

Sehingga semalam, Sabtu sebanyak 15,742 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital setelah pulih dari jangkitan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 1,231,854 pulih.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, kes kematian melibatkan mereka yang berumur antara lima bulan hingga 108 tahun, termasuk empat warga Myanmar dan seorang warga China.

Sementara itu, Bangkok terus merekodkan kematian dan kes harian tertinggi iaitu, 67 kematian dan 3,356 kes positif.

Kes import pula melibatkan dua kes dari Malaysia dan masing-masing satu kes dari Myanmar dan Netherlands.

Setakat Sabtu, sebanyak 135,966 orang menerima rawatan Covid-19 di hospital termasuk 4,013 yang dalam keadaan kritikal dan 856 bergantung kepada bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment