Dua lagi kes varian UK B.1.1.7

PUTRAJAYA 15 April – Terdapat pertambahan dua kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 yang dikesan di Malaysia menjadikan jumlah kes bagi varian UK B.1.1.7 setakat hari ini sebanyak lima.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, kes keempat dan kelima adalah pengembara warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Poland pada bulan April 2020. Mereka  didapati positif pada 30 Mac 2021 dan telah diberikan rawatan selanjutnya.

Analisis filogenetik pula menunjukkan kes keempat yang dijangkiti dengan varian UK B.1.1.7 mempunyai persamaan ketara dengan varian dari negara Poland dan mempunyai kebarangkalian tinggi bahawa kes tersebut mendapat jangkitan ketika berada di negara tersebut.

Walau bagaimanapun, punca jangkitan bagi kes kelima pula tidak dapat ditentukan kerana analisis menunjukkan perbezaan bagi varian yang menjangkiti kes tersebut. Ini juga menunjukkan bahawa kedua-dua kes ini mendapat jangkitan melalui sumber yang berlainan.

Adalah diingatkan bahawa varian UK B.1.1.7 dan varian South African B.1.351 yang dikesan di Malaysia boleh menular dengan mudah dan cepat walaupun banyak kajian saintifik masih berjalan untuk mengkaji gejala dan kesan jangkitan varian-varian ini.

Related posts

Leave a Comment