Bukan kematian dalam 24 jam

KOTA KINABALU 6 Sept. – Kadar kematian harian akibat Covid-19 di Lembah Klang tidak merujuk kepada keadaan sebenar dalam tempoh 24 jam sebaliknya disebabkan data kes tertunggak atau ‘backlog’.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, data yang dikeluarkan setiap hari sejak kebelakangan ini adalah data yang dimasukkan selepas kemas kini dibuat.

“Jumlah kematian yang kita laporkan setiap hari itu bukanlah jumlah kematian dalam tempoh 24 jam yang lepas. Terdapat banyak ‘backlog’ kes kematian… sebab kita perlu dapatkan pengesahan sama ada si mati betul-betul mati akibat COVID-19 atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menguruskan kemas kini data kes kematian yang tertunggak dan bilangannya akan dilihat menurun dalam tempoh kira-kira tiga minggu lagi.

“Di Lembah Klang, kita akan dapat lihat penurunan kadar kematian dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi apabila kita selesai mengemas kini data ‘backlog’ kematian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Mesyuarat berkenan yang dipengerusikan bersama Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bertujuan membantu Sabah mendepani pandemik Covid-19.

Pada mesyuarat tersebut, Khairy turut mengumumkan bantuan kesihatan untuk Sabah termasuk bantuan 480 unit silinder oksigen, 24 buah kotak regulator oksigen dan 29 ambulans yang akan diterbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) esok.

Sementara itu, Khairy berkata, tambahan seramai 97 pegawai perubatan ditempatkan di Sabah bagi meningkatkan keupayaan sistem kesihatan negeri itu menghadapi kes Covid-19.

Related posts

Leave a Comment