Kes harian terendah Covid-19

PUTRAJAYA 6 Sept. – Malaysia merekodkan 17,352 kes harian Covid-19 hari ini, jumlah paling rendah dalam tempoh sebulan yang lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,862,187 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sepanjang 24 jam lalu, 272 kematian akibat Covid-19 direkodkan dan ini menjadikan jumlah kumulatif  18,491 kematian.

Kes kematian melibatkan 227 warganegara, dan 45 bukan warganegara manakala 81 kes Brought In Death (BID) – kes kematian di luar fasiliti kesihatan (iaitu hospital) dan dibawa ke Jabatan Forensik hospital melibatkan 56 warganegara dan 25 bukan warganegara.

Dalam masa sama, 20,201 lagi kes sembuh dilaporkan sekali gus menjadikan individu yang kembali sembuh adalah seramai 1,591,028.

Manakala, jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia adalah pada angka 252,668 kes.

Sebanyak 975 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 435 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Lapan kes import :melibatkan lima warganegara; tiga bukan warganegara manakala 17,344 kes tempatan melibatkan 15,122 warganegara dan 2,222 bukan warganegara dengan kes aktif pula 252,668.

Sementara itu, daripada 17,352 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini, sebanyak 17,084 kes merupakan pesakit kategori 1 dan 2, di mana 11,250 atau 65.9 peratus tiada vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi.

Manakala 268 kes adalah pesakit kategori 3,4 dan 5 dimana 191 kes 71.3 peratus tiada vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 77 kes atau 28.7 peratus daripada mereka dalam kategori yang sama telah divaksinasi.

Sebanyak 86 peratus katil Unit Rawatan Rapi (ICU) digunakan di hospital Covid-19 di seluruh negara setakat semalam di mana Kedah merekod kadar penggunaan katil ICU tertinggi sehingga melebihi kapasiti iaitu sebanyak 123 peratus.

Ini diikuti Perak dengan 108 peratus dan Kelantan 103 peratus.

Di Selangor, penggunaan katil ICU masih kekal tinggi dengan 96 peratus setakat semalam manakala Kuala Lumpur pula sebanyak 70 peratus

Related posts

Leave a Comment