Jururawat di Singapura boleh bertudung

SINGAPURA 29 Ogos – Setelah sekian lama berbincang, akhirnya Singapura membenarkan jururawat dalam sektor kesihatan awam memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka ingin berbuat demikian.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, pemerintah memahami hasrat lebih ramai Muslimah untuk memakai tudung dan keputusan itu dibuat dengan teliti demi memastikan keharmonian kaum dan agama di Singapura kekal utuh.

Lee mengumumkan demikian ketika sesi ucapan dalam bahasa Inggeris di Rapat Umum Hari Kebangsaan malam ini.

Sebelum itu dalam ucapan bahasa Melayu pada sebelah petang, Lee ketika menyentuh isu itu tidak menyatakan secara berterus terang sebaliknya berkata “harinya sudah tiba, keputusan sudah diambil”.

“Saya faham hasrat anda. Saya hargai pandangan anda dan akur tentang aspirasi masyarakat Melayu/Islam. Tetapi saya juga berharap anda turut memahami pertimbangan dan keprihatinan nasional Pemerintah.

“Kita tidak mahu perubahan ini meluaskan jurang antara kaum dan melemahkan kita,” kata Lee yang memberitahu keputusan rasmi akan diumumkan dalam ucapan bahasa Inggeris.

Menyingkap kembali perjalanan berhubung isu ini, Lee berkata, pada 2014,

perbincangan tertutup dengan para pemimpin Melayu/Islam dan menjelaskan dasar Pemerintah bagi sektor jagaan kesihatan bukan sesuatu yang muktamad dan tidak boleh diubah.

“Kami memantau keadaan. Jika dan apabila kami mengubah pendirian, kami akan memastikan terlebih dahulu bahawa semua orang – Muslim mahupun bukan Muslim – memahami dan menerima perubahan itu. Ini kerana, tudung bukan hanya isu melibatkan masyarakat Muslim. Ia adalah isu nasional,” kata Lee.

Katanya, sejak beberapa dekad yang lalu, lebih ramai wanita Muslim di Singapura memakai tudung baik dalam persekitaran sosial mahupun di tempat kerja.

Tahun demi tahun, perubahannya perlahan-lahan. Namun dalam tempoh satu generasi, perubahan itu semakin ketara.

Maka, kata Lee, Pemerintah memahami sepenuhnya hasrat lebih ramai wanita Muslim untuk memakai tudung.

“Namun, kami berhati-hati tentang bagaimana reaksi masyarakat bukan Muslim kepada perubahan ketara itu dan sejauh mana ia akan menjejas hubungan antara masyarakat berbeza. Adakah ia akan dilihat sebagai lebih “inklusif’ atau menonjolkan perbezaan?” kata Lee.

Hari ini, tudung dipakai dalam banyak persekitaran tanpa sekatan – di tempat awam, di tempat kerja dan di Parlimen.

Menerusi pemerhatian Pemerintah sepanjang tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, ia mendapati interaksi antara kaum kekal baik.

“Masyarakat bukan Muslim semakin biasa melihat wanita Muslim memakai tudung. Wanita Muslim yang memakai tudung juga secara amnya selesa berinteraksi secara sosial dengan lelaki dan wanita bukan Muslim dalam kebanyakan keadaan,” kata Lee.

Menurut Lee, sebahagian kakitangan bukan berpakaian seragam khususnya dalam persekitaran hospital, sudahpun memakai tudung dan hubungan mereka dengan pesakit serta rakan sekeja juga baik.

Tambahan pula, rakyat muda Singapura bersikap lebih terbuka menerima perbezaan kaum dan agama.

“Maka, beberapa bulan lalu, saya bertemu sekali lagi dengan para pemimpin Muslim. Saya mengucapkan terima kasih atas bantuan mereka dalam menangani isu sensitif itu sepanjang beberapa tahun ini. Saya memberitahu mereka bahawa kini kita sudah bersedia.

“Mulai November nanti, jururawat Muslim di sektor kesihatan awam akan dibenarkan untuk memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka mahu,” umum Lee.

Berbanding khidmat uniform atau seragam lain termasuk Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), serta sekolah beliau berkata, Pemerintah mempunyai sebab penting bagi mengekalkan peraturan-peraturan sedia ada.

Related posts

Leave a Comment