Syarat lori masuk Singapura.

SINGAPURA terus mengambil langkah mencegah penularan wabak Covid-19 dengan mewajibkan para pemandu lori muatan yang memasuki Singapura dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands menjalani ujian Covid-19 mulai Jumaat, 22 Januari.

Mulai pukul 9 pagi pada Jumaat, ujian pantas antigen Covid-19 akan dilancarkan secara bertahap-tahap di dua pusat pemeriksaan bagi para pemandu lori muatan dan kakitangan pengiring yang memasuki Singapura.

Menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), mereka akan dibenarkan masuk ke Singapura jika keputusan mereka negatif.

“Oleh kerana para pemandu lori muatan dan kakitangan pengiring mungkin ada interaksi dengan masyarakat tempatan di Singapura, memperkenalkan ujian (pantas antigen) semasa ketibaan akan membolehkan kami mengenal pasti kemungkinan kes-kes Covid-19 dan mengurangkan risiko lebih lanjut,” menurut MTI.

Ini adalah tambahan kepada langkah-langkah perlindungan untuk memastikan kesihatan awam di Singapura dan dalam kalangan pemandu lori muatan dan kakitangan pengiring.

“Kami sedar akan kepentingan memastikan kelancaran pergerakan barangan antara Singapura dengan Malaysia dan menghargai peranan penting para pemandu lori muatan dan kakitangan pengiring,” kata MTI.

MTI mengingatkan pengusaha perniagaan yang berkaitan dinasihatkan supaya berhubung dengan para penyedia logistik dan membuat persediaan untuk sebarang kemungkinan kelengahan.

Perniagaan, pemandu lori muatan dan kakitangan pengiring mesti terus mematuhi langkah pengurusan selamat termasuk penghantaran tanpa bersemuka, memakai pelitup dan mengekalkan jarak selamat.

Ujian pantas antigen boleh memberi keputusan dalam masa setengah jam.

Related posts

Leave a Comment