264 kematian, 16,536 kes di Thailand

BANGKOK 29 Ogos – Thailand merekodkan 264 kematian dan 16,536 jangkitan harian hari ini, turun sedikit berbanding angka yang direkodkan semalam iaitu 292 kematian dan 17,984 kes.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 11,143 orang dan 1,174,091 kes jangkitan.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, sebanyak 16,298 kes melibatkan orang awam (termasuk lapan kes import) dan 328 dalam kalangan banduan.

Dalam tempoh 24 jam, sebanyak 20,927 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital. Angka ini mengatasi jumlah kes yang dilaporkan.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 melaporkan lebih separuh kematian direkodkan di Bangkok dan wilayah sekitarnya di mana ibu negara itu mencatatkan 111 kes dan  64 lagi meliputi Samut Prakan, Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Sakhon dan Nakhon Pathom.

Sejak 1 April, gelombang ketiga Covid-19, sebanyak 1,145,228 kes direkodkan dan 957,820 dilaporkan sembuh dan jumlah kematian 11,049.

Sementara sejak pandemik bermula awal tahun lalu, sebanyak 1,174,091 kes direkodkan dengan 985,465 kes sembuh dan 11,143 kematian.

Bangkok juga mendahului kes jangkitan dengan 3,821 kes sementara 3,101 kes di lima wilayah berdekatan.

Lapan kes import pula adalah ketibaan dari Amerika Syarikat (2), Myanmar (2), Kemboja (2), dan satu kes masing-masing dari Israel dan Malaysia.

Sementara itu, langkah sekatan diperketatkan ditarik balik mulai 1 September ini yang membolehkan pembukaan semula pusat beli belah, makan di restoran manakala perintah berkurung mulai pukul 9 malam hingga 4 pagi dilanjutkan sekurang-kurangnya dua minggu.

Related posts

Leave a Comment