2.2 peratus tidak daftar vaksinasi

PORT DICKSON 29 Ogos – Sebanyak 2.2 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam dikesan tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setakat 19 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata susulan itu pihaknya akan mengemukakan nama-nama berkenaan kepada ketua jabatan masing-masing bagi mengetahui isu sebenar untuk tindakan selanjutnya.

“Kita akan sentiasa melihat dan cuba meningkatkan lagi peratusannya. Ini kerana bila mana lebih banyak sektor perkhidmatan dibuka, mereka kena hadir ke pejabat, …kehadiran ke pejabat wajib walaupun suntikan vaksin belum lagi diwajibkan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kira-kira 400 masyarakat India, hari ini.

Katanya, setakat 19 Ogos lalu, 74 peratus penjawat awam telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 manakala 17.8 peratus lagi menerima satu dos.

Pihaknya turut meminta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyegerakan pemvaksinan kepada 30,000 penjawat awam yang masih belum ada tarikh janji temu sebelum pembukaan semua sektor ekonomi di negara ini.

“Ini kerana kalau kita nak buka sektor ekonomi, perkhidmatan kerajaan perlu dibuka terlebih dahulu, jadi kita harap yang belum ada janji temu segera divaksinkan,” katanya.

Beliau turut menyeru penjawat awam yang belum mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk berbuat demikian sekali gus memastikan negara mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Related posts

Leave a Comment