1Malaysia kepada Keluarga Malaysia

BIAR apa pun label diberikan terhadap Kabinet baharu yang dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob, mereka yang diberi amanah perlu memikul tanggungjawab yang diberi untuk kepentingan keluarga Malaysia atau rakyat Malaysia.

Jawatan yang diberi bukan untuk bermegah atau sekadar memenuhi tuntutan atau kuota parti yang diwakili walaupun tradisi politik Malaysia masih ada yang begitu – jawatan diagih ikut status quo, berjawatan di dalam parti atau ikut senioriti.

Namun mungkin situasi ini sudah mula berubah apabila hanya seorang dua presiden parti berada di dalam Kabinet – itu pun bersebab – malahan mereka yang dianggap ‘lari’ atau menjauhkan diri daripada kepemimpinan parti turut diberi kedudukan.

Hakikatnya, rakyat atau khalayak dalam situasi hari ini  tidak peduli siapa yang dilantik tetapi yang penting apa usaha mereka – rujuk Kabinet bukan individu – memerah otak untuk menangani masalah yang sedang dihadapi keluarga Malaysia.

Jika dulu semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) slogan 1Malaysia sentiasa bermain di bibir tetapi kali ini giliran Keluarga Malaysia. Adakah ini juga boleh dianggap kitar semula?

Diharapkan parti politik tidak mempolitikkan Keluarga Malaysia. Cukuplah berpolitik. Jangan tabur kebencian seperti berlaku terhadap 1Malaysia sebaik sahaja BN tumbang. Cuma bagaimana mahu mempamerkan Keluarga Malaysia yang sebenar.

Malam tadi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga memutuskan kerajaan perlu terus menggunakan jenama “Keluarga Malaysia” dan “Kerajaan Malaysia”,  bukan lagi menggunakan “Kerajaan Perikatan Nasional” .

Langkah itu memandangkan kerajaan hari ini merupakan kerjasama politik longgar antara Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Parti Perikatan Nasional (PPBM, Pas dan STAR), GPS dan PBS.

[ RUJUK : Apa nama selepas PH,PN , 20 Ogos 2021 di selak-selak.com atau bebasnews.my]

Diharapkan nama kerajaan atau Kabinet baharu ini tidak menjadi isu. Fokus kepada kesejahteraan keluarga Malaysia dengan usaha menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian. Dari situ kita bergerak pulihkan ekonomi.

Berbalik kepada Kabinet, hanya orang politik dan kaki kritik serba tak kena yang mengambil berat, yang lain kebanyakan pandai cut & paste dan forward serta kritik  apa sahaja isu tetapi tidak mampu mencadangkan jalan keluar atau penyelesaian.

Realitinya isu muka baharu dan lama tidak akan pernah selesai. Maka label kitar semula, keluarga 69, Kabinet baharu barang lama dan macam-macam lagi akan berterusan. Sampai bila? Sehingga orang politik ‘insaf’.

Jangan lupa bahawa orang politik juga, kebanyakan kitar semula kerana selagi yang lama tidak mahu mengalah, menganggap dirinya masih boleh ‘digunakan’ maka selama itulah dalam politik ‘lama dan baharu berpisah tiada’.

Itu realiti politik. Berapa ramai orang politik sedia berundur, sanggup memberi ruang dan peluang kepada pelapis mengisi kekosongan mereka. Sesetengahnya selagi hayat dikandung badan. Akhirnya mereka juga tercari-cari muka baharu.

Kabinet sudah siap. Bergeraklah ke hadapan. Hentikan sembang kosong yang tidak ada faedahnya. Pantau Kabinet ini dalam tempoh 100 hari. Pastikan Kabinet ini benar-benar dilengkapi dan berfungsi.

Andai ia kabinet dapur biarlah ramuannya cukup, jangan pula garam dan gula pun tidak ada. Kalau kabinet pinggan mangkuk, jangan simpan sebagai hiasan. Jika ia kahinet buku, biarlah buku-bukunya dalam pelbagai bidang ilmu bukan hanya politik.

Terimalah realiti, Ismail Sabri seperti menyambung kerajaan terdahulu yang terhasil akibat masalah yang melanda Pakatan Harapan (PH) apabila perdana menterinya Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Tidak banyak pilihan yang boleh dilakukan. Benar Ismail boleh kurangkan atau gugurkan individu atau portfolio. Tetapi bersediakah parti politik yang awal-awal lagi meminta itu dan ini? Ada tak parti yang tolak jawatan?

Kabinet ini bukan Kabinet yang mendapat mandat selepas Pilihan Raya Umum (PRU). Kabinet ini ‘kosong’ tanpa manifesto. Walaupun manifesto bukan kitab suci tetapi sekurang-kurangnya sesebuah kerajaan itu mesti ada visi dan misinya.

Kabinet ini hanyalah Kabinet sementara menunggu PRU akan datang, tidak layak dipanggil Kabinet baharu, tetapi umpama kabinet yang diperbaiki selepas rosak, dimasuki lipas, tikus atau dimakan anai-anai.

Tidak perlu buang masa ‘mengisi semula’ kabinet dengan sesuatu yang baharu sebaliknya manfaatkan apa yang ada , ibarat pecahkan ruyung untuk dapatkan sagunya.

Related posts

Leave a Comment