121 kes, tiga kematian di Singapura

SINGAPURA 28 Ogos – Sebanyak 113 kes tempatan baharu Covid-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari ini di samping lapan kes import yang membawa kepada jumlah keseluruhan 67,171 kes

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), sebanyak 25 kes berhubung kait dengan kelompok Bugis Junction.

Sebanyak 32 kes mempunyai kaitan dengan kes-kes terdahulu dan sudah dikuarantin, 27 kes dikesan menerusi ujian pemantauan manakala 29 jangkitan tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan kes sebelumnya.

Selain itu, terdapat lapan kes import yang sudah dikenakan notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Empat kes dikesan semasa ketibaan manakala empat lagi mengalami jangkitan semasa menjalani SHN atau pengasingan.

Sementara itu, semalam, MoH merekodkan tiga lagi kematian akibat komplikasi Covid-19, menjadikan 18 orang meninggal dunia sepanjang bulan ini.

Ketiga-tiga kes belum menerima vaksin Covid-19 di mana dua daripada mereka meninggal dunia pada Khamis, 26 Ogos.

Kes melibatkan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 80 tahun yang diuji positif pada 7 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong pada hari yang sama.

Seorang lagi, wanita 90 tahun yang dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat disebabkan keadaan perubatan yang tidak berkaitan pada 18 Ogos dan diuji positif Covid-19 pada keesokan hari.

Beliau mempunyai sejarah penyakit barah, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan hiperlipidaemia.

Kematian ketiga juga seorang wanita tempatan, 70 tahun yang meninggal dunia pada Jumaat. Beliau juga dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Puat disebabkan keadaan perubatan tidak berkaitan pada 11 Ogos.

Beliau diuji negatif ketika dimasukkan ke hospital tetapi positif apabila satu lagi ujian dijalankan pada 17 Ogos. Wanita ini mempunyai sejarah kencing manis, sakit jantung iskemia, sakit ginjal tahap akhir, tekanan darah tinggi dan hiperlipidaemia.

Menurut MoH, walaupun dua kes pesakit tidak banyak bergerak dan pergerakan di luar rumah terhad tetapi masih dijangkiti tanpa hubung kait.

Setakat ini Singapura melaporkan 55 kematian akibat Covid-19 .

Related posts

Leave a Comment