WELLINGTON: New Zealand akan mewajibkan guru dan pekerja di sektor kesihatan dan kurang upaya diberikan vaksin Covid-19, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.
Pekerja sektor kesihatan dan kurang upaya diwajibkan divaksinasi sepenuhnya pada 1 Disember ini manakala kakitangan sekolah termasuk guru perlu melengkapkan vaksinasi dua dos menjelang 1 Januari.
Ardern berkata New Zealand berada dalam keadaan yang sukar dan mencabar dalam pandemik Covid-19 setakat ini.
Negara itu kini sedang memerangi varian Delta yang memaksa negara itu menukar strategi untuk menghapuskan jangkitan baharu melalui vaksinasi yang lebih tinggi.
Beliau berkata lebih banyak kebebasan akan diberikan selepas negara itu mencapai kadar vaksinasi lebih tinggi.
Kira-kira 2.38 juta rakyat New Zealand telah divaksinasi sepenuhnya atau 57 peratus daripada populasi.
Kerajaan berjanji untuk menghentikan sekatan pergerakan dan penutupan selepas kadar vaksinasi mencapai 90 peratus populasi.
