Kes aktif kini 265,695

PUTRAJAYA 27 Ogos – Selepas merekodkan kes jangkitan dan kematian tertinggi semalam, jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini turun kepada  22,070 berbanding 24,599 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan penambahan kes hari ini, jumlah kumulatif kes jangkitan setakat ini meningkat kepada 1,662,913 yang mana 265,695 adalah kes aktif.

Kes kematian yang dilaporkan hari ini adalah 339 berbanding 393 semalam menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia sebanyak 15,500 orang.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 22,070 adalah kes penularan tempatan dengan 18,832 daripadanya adalah warganegara (85.4 peratus) dan 3,223 bukan warganegara (14.6 peratus) manakala 15 lagi adalah kes import iaitu lapan warganegara dan tujuh bukan warganegara.

Daripada 22,070 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 412 kes (1.9 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 21,658 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Secara keseluruhan, 17,029 kes (77.2 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Sebanyak 982 kes kini dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) dengan 470 memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai kes kematian, daripada 339 kes, sebanyak 289 adalah warganegara dan 50 bukan warganegara.

Sebanyak 99 kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) direkodkan membabitkan 74 warganegara dan 25 bukan warganegara.

Sebanyak 339 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu 103 kes di Selangor; 41 kes di Sabah; 40 kes di Kuala Lumpur; 38 kes di Pulau Pinang; 37 kes di Johor; 20 kes di Kedah; 15 kes di Perak; 13 kes di Negeri Sembilan; masing-masing lapan kes di Kelantan dan Pahang; enam kes di Melaka; lima kes di Terengganu; tiga kes di Sarawak; serta dua kes di Perlis.

Sebanyak 28 kluster baharu juga dilaporkan termasuk sembilan kluster baharu yang dilaporkan di Sarawak.

Selain itu, daripada jumlah kluster baharu yang dilaporkan hari ini, kluster kategori komuniti mencatatkan jumlah kluster baharu tertinggi iaitu 15 kluster, diikuti kluster tempat kerja (12) dan satu kluster pusat tahanan.

Sehingga kini jumlah kluster jangkitan Covid-19 yang direkodkan di negara ini sebanyak 4,611 kluster dengan 3,144 kluster sudah ditamatkan dan 1,467 kluster masih aktif.

Related posts

Leave a Comment