Hukuman enggan ambil vaksin’

CHICAGO: Delta Airlines meminta pekerjanya yang enggan mengambil vaksin Covid-19 membayar tambahan AS$200 dolar setiap bulan untuk pelan penjagaan kesihatan yang ditaja syarikat mereka.

Langkah itu merupakan strategi terbaharu syarikat korporat Amerika Syarikat bagi mendorong pekerjanya mendapatkan suntikan bagi melawan pandemik.

Beberapa syarikat Amerika Syarikat termasuk United Airlines juga telah mewajibkan pekerja mereka mendapatkan suntkan vaksin bagi melindungi daripada jangkitan varian Delta yang mudah menular.

Sementara itu, Canada Air turut membuat pengumuman pekerja yang tidak divaksin selewat-lewatnya 30 Oktober akan berdepan dibuang kerja atau cuti tanpa gaji.

Syarikat itu juga mengubah polisi menjadikan vaksinasi penuh sebagai syarat mengambil pekerja baharu.

Dalam memo kakitangan, Ketua Eksekutif Delta Air, Ed Bastian mengatakan bayaran tambahan bulanan akan berkuatkuasa pada 1 November.

Bayaran tambahan itu diperlukan untuk mengatasi risiko kewangan yang dihadapi syarikat penerbangan yang berpangkalan di Atlanta akibat keputusan untuk tidak mengambil vaksin oleh pekerjanya.

Jurucakap Delta Air mengatakan bahawa rata-rata rawatan di hospital untuk Covid-19 telah menelan belanja syarikat AS$40,000 setiap seorang.

Bayaran tambahan akan dikenakan untuk seluruh tenaga kerja dan bukti atau dokumentasi vaksinasi diperlukan untuk mengelakkannya.

Related posts

Leave a Comment