Tiada perpecahan kepemimpinan Pas, Bersatu

KUALA TERENGGANU 6 Feb. – Tiada perpecahan kepemimpinan antara Pas dan Bersatu sebaliknya hubungan antara pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) masih utuh, kata Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris.

“Tiada keretakan hubungan antara Abdul Hadi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua pemimpin itu sering berhubungan,” katanya.

Beliau berkata, Abdul Hadi agak uzur kebelakangan ini dan kurang tampil dalam media massa dan keadaan itu dikatakan menjadi modal Pakatan Harapan (PH) mendakwa berlaku keretakan dalam pimpinan PN.

“Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang kerap menghadiri mesyuarat termasuk mengadakan perjumpaan dengan pimpinan tertinggi Bersatu, tetapi kelibatnya kurang didedahkan,” katanya kepada media, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, berkata tiada perpecahan berlaku antara pimpinan tertinggi Pas dan Bersatu, malah gabungan parti dalam PN bertambah kuat selepas mendapat sokongan seluruh rakyat.

Sementara itu, mengulas cadangan UMNO mengumpul sejuta tandatangan bagi  mendapatkan pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Najib Razak, Razali berkata, itu hanya bertujuan menguji kekuatan Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pengumpulan sejuta tandatangan tidak akan mengubah keputusan Lembaga Pengampunan.

“Kita cadangkan lebih baik UMNO menganjurkan pengumpulan sejuta tandatangan menarik diri daripada terus berada di bawah gabungan PH,” katanya.

Related posts

Leave a Comment