2,913 kluster sejak 28 Mac

PUTRAJAYA 18 Ogos – Sebanyak 2,913 kluster berjaya dikesan sejak 28 Mac, permulaan fasa kedua gelombang ketiga Covid-19 di negara ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,549 kluster atau 53.2 peratus adalah di tempat kerja, manakala 800 kluster lagi atau 30.2 peratus membabitkan kalangan komuniti.

Daripada jumlah kluster komuniti dikesan itu, beliau berkata, ia sudah menjangkiti 58,776 individu iaitu 14 kes masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 417 kes kematian.

Sehingga kini 439 kluster komuniti masih aktif dan berdasarkan negeri, sebanyak 239 klusterr dikesan di Kelantan, Sarawak (171 kluster) dan Sabah (94 kluster).

Kluster komuniti ini kebanyakannya berpunca daripada penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat yang melakukan aktiviti ziarah keluarga atau penularan di kawasan kediaman membabitkan 481 kluster, komuniti di rumah panjang (44 kluster) dan majlis sambutan perayaan (55 kluster).

Siasatan epidemiologi di lapangan mendapati walaupun ada larangan mengadakan majlis sosial atau menerima pelawat dan tetamu, masih ada masyarakat menjalankan aktiviti ziarah atau berkumpul dalam majlis, seterusnya mencetuskan kluster komuniti.

Mengenai kluster di tempat kerja, Dr Noor Hisham berkata, sehingga semalam, sebanyak 1,549 kluster dikesan yang menjangkiti 133,247 individu.

Masih ada 764 kluster yang aktif dan daripada jumlah individu sudah dijangkiti itu, 32 kes masih mendapat rawatan di ICU dan 370 kes kematian dilaporkan.

Selangor melaporkan kluster tempat kerja tertinggi iaitu 414 kluster, Johor (322 kluster) dan Kuala Lumpur (149 kluster).

Terdapat tiga sub kluster tempat kerja tertinggi dilaporkan dalam tempoh berkenaan iaitu daripada sektor perkilangan membabitkan 780 kluster, perkhidmatan (260 kluster) dan pembinaan (181 kluster).

Dr Noor Hisham berkata, usaha menurunkan kluster di tempat kerja memerlukan penekanan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan pemantapan vaksinasi dalam kalangan pekerja serta penguatkuasaan lebih tegas.

Hari ini, terdapat 49 kluster baharu dikesan yang menjangkiti 1,833 individu.

Sebanyak 30 kluster baharu membabitkan tempat kerja, diikuti kalangan komuniti (13 kluster), kumpulan berisiko (5) dan satu kes kluster pusat tahanan.

Related posts

Leave a Comment