JEDDAH 16 Ogos – Kementerian Haji dan Umrah mula menerima kehadiran kumpulan pertama jemaah umrah dari luar negara semalam setelah menutup kemasukan jemaah berikutan pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Ketibaan sulung itu disambut di lapangan terbang dan seperti biasa turut diraikan sebaik tiba di hotel penginapan.
Dengan mempertingkatkan sistem perkhidmatan yang komprehensif, Arab Saudi juga mengambil langkah-langkah pencegahan bagi memelihara kesihatan dan keselamatan para jemaah berikutan pandemik Covid-19.
Bagi keselamatan jemaah juga, Arab Saudi mengenakan beberapa syarat termasuk perlu mengambil vaksin yang lengkap dan kuarantin bagi negara tertentu.
Arab Saudi mula menerima permohonan umrah dari luar negara untuk jemaah yang divaksin pada 9 Ogos lalu.
Kementerian merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah dari 60,000 kepada 90,000 sehingga mencecah 120,000 orang sehari.
Kebenaran umrah itu meliputi solat di Masjidilharam di Makkah, mengunjungi Masjid Nabawi di Madinah dan bersolat di Al Rawda Al Sharifa di sana.
