Kemelut politik PM & PN

KEMELUT politik dan perjalanan politik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik perhatian selepas mengambil alih tampuk kepemimpinan negara sejak 1 Mac tahun lalu.

Berikut kronologi sejak pelantikan beliau sehingga tercetusnya kemelut politik yang melanda negara.

23 Februari 2020 – Muhyiddin selaku Presiden BERSATU mengumumkan parti itu keluar Pakatan Harapan (PH) susulan kemelut jawatan Perdana Menteri.

24 Februari 2020 – Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

1 Mac 2020 – Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

12 Januari 2021 -Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

7 Julai 2021 – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Sri Muhyiddin.

– UMNO menuntut Muhyiddin meletak jawatan bagi memberi laluan kepada seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

26 Julai 2021 – Sidang Khas Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan pandemik COVID-19.

– Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

– Semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu.

29 Julai 2021 – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi desak Perdana Menteri letak jawatan kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan di Parlimen.

3 Ogos 2021 – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

4 Ogos 2021 – Muhyiddin dalam perutusan khas menjelaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

– Muhyiddin menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.

6 Ogos 2021 – Seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

9 Ogos 2021 – UMNO mengesahkan utus dua warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos lalu, menyatakan penarikan sokongan kepada Muhyiddin.

13 Ogos 2021 – Muhyiddin mengemukakan cadangan persefahaman rentas parti bagi membolehkan usul percaya kepada Perdana Menteri diluluskan dengan undi bipartisan di Dewan Rakyat, sekali gus kerajaan boleh terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa sesuai untuk diadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

– UMNO, Pakatan Harapan (PH) Parti Warisan Sabah (WARISAN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Ahli Parlimen Bebas tolak tawaran Muhyiddin.

15 Ogos 2021 – Muhyiddin menghadiri mesyuarat bersama pimpinan PN di Publika.

– Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata Muhyiddin memaklumkan akan menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

16. Ogos 2021 – Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya

– dan kemudiannya menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara tengah hari ini.

Related posts

Leave a Comment