Tersilap ayam halal dilabel babi

SINGAPURA 15 Ogos – Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ambil maklum tentang satu catatan Facebook mengenai produk ayam yang disahkan Halal oleh MUIS dan dijual di NTUC FairPrice, tetapi tersalah label sebagai daging babi.

Dalam satu catatan Facebook semalam (14 Ogos), MUIS juga menyatakan bahawa NTUC FairPrice sudahpun meminta maaf dan menjelaskan bahawa langkah tambahan telah dilaksanakan untuk mengelakkan kejadian itu berulang.

MUIS juga menyifatkan insiden itu sebagai peringatan yang baik kepada para pelanggan Muslim supaya memeriksa label produk sebelum membuat pembelian.

“Jika kesilapan sedemikian berlaku, adalah baik untuk memaklumkannya kepada kakitangan pasar raya/premis dengan segera untuk mendapatkan penjelasan dan pembetulan.

“Mari kita mainkan peranan kita sebagai rakyat bertanggungjawab dan tidak menimbulkan rasa panik atau salah faham yang tidak perlu,” kata MUIS.

Sementara itu, NTUC Fairprice memandang serius terhadap perkara ini dan telah mengambil langkah tambahan untuk mengelakkan kesilapan serupa daripada berulang.

“Kami menyedari sensitiviti yang menyelubungi kesilapan itu dan meminta maaf atas segala kesalahan yang berlaku,” menurut rangkaian pasar raya itu di Facebook pada 13 Ogos.

NTUC FairPrice menggesa para pelanggan yang mendapati sebarang kesilapan pelabelan supaya memaklumkannya kepada kakitangan bertugas dengan segera supaya ia dapat diperbetulkan dengan serta-merta.

Related posts

Leave a Comment