Sebar virus melalui bercakap, nyanyi

SINGAPURA 12 Ogos – Zarah sindrom pernafasan akut teruk coronavirus 2 (SARS-CoV-2) daripada seorang yang dijangkiti, lebih mudah tersebar sewaktu bercakap atau menyanyi, demikian hasil kajian Universiti Nasional Singapura (NUS).

Menurut Penyelidik NUS, zarah halus yang terapung di udara bersaiz kurang daripada 5 mikrometer (um) yang terhasil daripada dua jenis aktiviti itu, mengandungi lebih banyak zarah virus daripada zarah kasar – lebih daripada 5 um.

Penyelidik merumuskan, zarah halus yang tersebar daripada pernafasan mungkin memainkan peranan besar dalam penularan SARS-CoV-2, terutama dalam persekitaran tertutup.

Dalam kenyataan semalam, ketua penyelidik itu, Profesor Madya Tham Kwok Wai  berkata, kajian sebelum ini menunjukkan memang wujud zarah yang terapung di udara atau sejumlah zarah halus yang terhasil daripada percakapan atau menyanyi.

Bagaimanapun, mereka tidak mengukur jumlah zarah virus SARS-CoV2 yang terhasil.

Kajian yang pertama kali diterbitkan dalam jurnal Clinical Infectious Diseases pada 6 Ogos 2021, membabitkan 22 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Pusat Penyakit Berjangkit (NCID) daripada Februari hingga April 2021.

Peserta kajian perlu melakukan tiga aktiviti pernafasan sehari; aktiviti bernafas selama 30 minit, bercakap selama 15 minit dengan membaca kuat buku kanak-kanak, dan 15 minit menyanyi beberapa lagu. Mereka dibenarkan berehat di antara setiap aktiviti.

Ketika melakukan ketiga-tiga aktiviti itu mereka menggunakan alat yang direka khas bagi mengumpul zarah halus dalam pernafasan yang dikenalil sebagai Gesundheit-II.

“Kita mendapati pesakit Covid-19 peringkat awal meninggalkan kesan zarah asid ribonukleat (RNA) SARS-CoV-2 dalam pernafasan.

“Bagaimanapun, kadar pelepasan virus daripada pernafasan itu berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Agak mengejutkan juga kerana sesetengah pesakit mereka melepaskan lebih banyak virus ketika bercakap berbanding menyanyi,” kata ketua bersama projek penyelidikan itu, Dr Kristen Coleman dari Sekolah Perubatan Duke-NUS.

Dapatan kajian itu menunjukkan bahawa pendedahan terhadap zarah halus yang terhambur daripada pernafasan perlu ditangani, terutama dalam persekitaran tertutup, tempat penularaan SARS-CoV-2 menerusi bawaan udara sering berlaku.

Bagi mengurangkan risiko terdedah terhadap zarah seni ini adalah menerusi langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, meningkatkan tahap pengudaraan bilik, menyediakan sistem penapisan udara lebih cekap dan menggunakan teknologi pembersihan udara yang sesuai.

Related posts

Leave a Comment