NZ cadang buka sempadan 2022

WELLINGTON 12 Ogos – New Zealand bercadang membuka semula sempadannya secara bertahap dengan membenarkan kemasukan tanpa kuarantin bagi pengembara yang lengkap divaksin dari negara berisiko rendah awal tahun depan.

Perdana Menteri, Jacinda Arden berkata, kerajaan akan beralih ke model pelan pemulihan baharu selepas negars itu ditutup sejak tahun lalu akibat Covid-19.

Di bawah cadangan pembukaan semula, pengembara antarabangsa akan dinilai berdasarkan status vaksinasi dan rekod perjalanan ke negara berisiko sederhana dan tinggi.

Berdasarkan penilaian itu, katanya, kerajaan akan menentukan sama ada mereka tidak perlu menjalani kuarantin, melaksanakan pengasingan diri atau kuarantin wajib 14 hari.

Pengembara dari negara berisiko rendah yang sudah lengkap divaksin boleh melakukan perjalanan tanpa kuarantin manakala mereka yang datang dari negara berisiko sederhana dan tinggi perlu menjalani kuarantin wajib dua minggu.

“Kita belum dapat membuka semula (sempadan) sepenuhnya. Kita perlu lakukan dengan penuh berhati-hati dan teliti atau negara ini juga berdepan risiko seperti negara lain (peningkatan kes akibat varian Delta),” kata Ardern dalam sebuah forum mengenai menghubungkan semula warga New Zealand dengan dunia, hari ini..

Beliau juga berkata, kerajaan akan mempercepatkan program vaksinasi kepada semua lapisan usia yang layak sebelum hujung tahun ini.

“Ia juga akan beralih ke jarak masa enam minggu antara dos pertama dengan dos kedua bagi membolehkan lebih ramai penduduk negara itu mendapatkan sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin.

Gelembung perjalanan dengan Australia terpaksa ditangguhkan sementara sejak Jun lalu, berikutan penularan varian Delta dan perjalanan bebas kuarantin hanya dibenarkan dengan negara berisiko rendah seperti kepulauan Cooks selain membawa masuk pekerja secara bermusim dari negara Tonga, Samoa and Vanuatu mulai bulan ini. –

New Zealand sebelum ini mendapat pujian global kerana berjaya membendung penularan Covid-19 apabila hanya mencatatkan 26 kematian dan 2,500 kes jangkitan virus itu.

Related posts

Leave a Comment