Brunei terus tambah kes Covid-19

BANDAR SERI BEGAWAN 12 Ogos – Brunei Darussalam terus mencatatkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 hari ini dengan merekodkan 49 kes baharu, kesemuanya kes tempatan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 543 kes

Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, tiga kluster baharu yang menyumbang 12 kes telah dikesan iaitu Kluster Dragon Boat (6 kes), Kluster 499 (3 kes) dan Kluster Champion 7 (3 kes).

Bercakap pada sidang media situasi Covid-19 petang ini, beliau memaklumkan kes terbanyak melibatkan Kluster Chung Hua sebanyak 21 kes, Kluster Dragon Boat (6), Kluster ABCi (4), Kluster Imigresen (3), Kluster Champion 7 (3) dan Kluster 499 (3).

Kluster Total dan Kluster Semporna Enak masing-masing merekodkan dua kes manakala lima kes lagi tidak diketahui puncanya.

Sebanyak tiga kes dilaporkan sembuh menjadikan jumlah pesakit pulih 322 orang sementara kes aktif pula kini 218 dan jumlah kematian kekal tiga orang.

“Dua kes dalam keadaan kritikal, yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan dua lagi dalam pemantauan rapi,” katanya.

Dr. Md Isham juga menyeru kakitangan kesihatan di klinik swasta dan bekas pekerja yang berminat menjadi sukarelawan kesihatan menghubungi pihak kementerian.

Berikutan peningkatan kes, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan diri, sering membasuh tangan, memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan duduk di rumah.

Pengambilan vaksin juga digalakkan dengan memenuhi jadual yang ditetapkan sementara Kementerian akan menambah pusat vaksinasi.

Related posts

Leave a Comment