Hentikan jualan 5 produk kosmetik

PUTRAJAYA 30 Sept. – Lima jenis produk kosmetik tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia susulan dikesan mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Produk berkenaan adalah Karisma Aqua Birds Nest; 2 Skin Revolution – PAP – Blemish Control Serum; Skin Revolution -PAP – Blemish Fade Cream; Ufora Daily Treatment 10g dan Dnars Gold Debalen Cream (Night).

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), mengesan produk-produk berkenaan mengandungi hydroquinone, clindamycin, metronidazole, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.

“Semua jenis bahan ini adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Notifikasi produk kosmetik berkenaan sudah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya.

KKM berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik berkenaan dengan serta-merta.

Sebarang aktiviti penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Manakala syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

KKM juga menasihati orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan ‘advers’.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” kata kenyataan itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment