SINGAPURA 12 Ogos – Singapura melaporkan 59 kes jangkitan Covid-19 hari ini, kesemuanya kes tempatan menjadikan jumlah keseluruhan 66,012 kes dengan 43 kematian akibat penyakit itu.
Menurut Kementerian Kesihatan, kes hari ini termasuk 19 yang tidak berhubung kait dengan kes-kes terdahulu.
Lima kes yang dilaporkan hari ini melibatkan warga emas berusia lebih 70 tahun yang tidak divaksinasi atau belum selesai divaksin dan “berisiko menghidap penyakit serius”.
Sebanyak 26 jangkitan dikaitkan dengan kes terdahulu dan sudah dikuarantin manakala 14 kes lagi berhubung kait dengan jangkitan sebelumnya dan dikesan menerusi ujian pemantauan.
Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam (Rabu 11 Ogos), menjadikannya kematian keenam akibat virus itu pada bulan ini.
Lelaki itu yang dikenal pasti sebagai Kes 66910, tidak divaksinasi dan mempunyai sejarah penyakit angin ahmar, kencing manis, darah tinggi dan hiperlipidaemia.
Beliau mengalami simptom pada 28 Julai dan dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng pada keesokan hari di mana beliau diuji positif Covid-19.