NZ kenakan sekatan perjalanan

WELLINGTON 11 Ogos – New Zealand menyenaraikan Indonesia dan Fiji sebagai negara sangat berisiko tinggi ekoran lonjakan kes Covid-19 dan mengenakan sekatan perjalanan ke atas kedua-dua negara itu, mulai 11.59 malam 15 Ogos ini.

Berikutan itu, perjalanan ke New Zealand dari Indonesia dan Fiji dihadkan kepada warga New Zealand, pasangan mereka dan anak-anak mereka, serta ibu-bapa kepada kanak-kanak warga New Zealand yang merupakan tanggungan mereka.

Menteri Covid-19 Chris Hipkins berkata, para pengunjung lain, termasuk penduduk New Zealand, perlu menjalani tempoh 14 hari di luar Indonesia sebelum terbang ke New Zealand.

Sementara itu, Hipkins pada sidang media menyatakan tiada kes dalam masyarakat dilaporkan hari ini.

Katanya, pada Selasa seramai 46,000 lagi mendapatkan suntikan vaksin dan setakat ini, 2.29 juta dos telah didaftarkan termasuk 850,000 yang vaksinasi penuh.

Beliau berkata, setiap orang perlu divaksin kecuali atas alasan yang munasabah kenapa mereka tidak boleh mengambil vaksin.

Related posts

Leave a Comment