Brunei Darussalam tambah kes baharu

BANDAR SERI BEGAWAN 11 Ogos – Brunei Darussalam merekodkan 54 kes baharu Covid-19, angka harian tertinggi setakat ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 494 kes.

Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, kesemuanya adalah kes tempatan dan hari ini juga satu  kluster baharu dikesan iaitu Kluster Imigresen yang merekodkan empat kes.

Kluster ini ada kaitan dengan kes 423, yang sumber jangkitan tidak diketahui.

Katanya, Kluster Chung Hua yang merupakan kluster terbesar setakat ini merekodkan 25 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 62 kes, majoriti melibatkan pelajar.

Kluster Semporna Enak pula melaporkan lapan kes baharu menjadikan jumlah kes sebanyak 17 .

Beliau juga memaklumkan tiga kes baharu melibatkan Kluster Al-Falah yang kini dinamakan sebagai Kluster Al-Falah-Freda Radin manakala Kluster Total pula merekodkan satu kes baharu.

Sebanyak 13 kes lagi belum dapat dipastikan sumber jangkitan.

Mengenai perkembangan kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, sebanyak lima kes dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 319 pesakit pulih dan 172 kes masih aktif.

Sementara itu, berikutan langkah berjaga-jaga cuti penggal kedua persekolahan dipercepatkan dari 12 September kepada hari ini, 11 Ogos 2021 hingga Selasa, 17 Ogos 2021.

Perubahan itu melibatkan semua sekolah rendah, menengah, maktab, pusat tingkatan enam dan sekolah swasta, di bawah kawalan Kementerian Pendidikan juga sekolah-sekolah, di bawah kawalan KHEU.

Institusi pendidikan teknikal dan vokasional, pusat-pusat latihan dan pembelajaran sepanjang hayat juga institusi-institusi pengajian tinggi pula akan meneruskan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian melalui platform media sosial yang bersesuaian, seperti yang telah bermula pada Isnin, 9 Ogos 2021.

(Foto MoH NBD)

Related posts

Leave a Comment