Filipina lapor 12,021 kes harian

MANILA 11 Ogos – Jabatan Kesihatan (DoH) Filipina mencatatkan 12,021 kes Covid-19, kes harian tertinggi menjadikan jumlah keseluruhan 1,688,040 kes.

Setakat pukul 4 petang ini, DoH juga merekodkan 154 orang meninggal dunia yang dikaitkan dengan Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 29,374 orang.

Jumlah pesakit sembuh pula meningkat kepada 1,577,267 orang atau 93.4 peratus daripada keseluruhan kes termasuk 9,591 kes sembuh yang direkodkan hari ini.

Sebanyak 81,399 kes aktif dilaporkan.

Sementara itu pusat vaksinasi di seluruh ibu kota Filipina cuba mempercepatkan kadar suntikan vaksin, termasuk dibuka 24 jam bagi membantu menangani lonjakan kes Covid-19 dikaitkan dengan varian Delta yang lebih mudah berjangkit.

Lebih kurang 10 peratus penduduk daripada 110 juta sudah divaksinasi sepenuhnya dan jutaan penduduk masih terdedah kepada jangkitan sehingga sasaran untuk memastikan 70 juta penduduk menjalani vaksinasi sebelum hujung tahun ini.

Pergerakan di sekitar bandar Manila, yang mempunyai 13 juta penduduk, kini dibataskan dalam usaha membendung penularan varian Delta.

Hari ini, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Filipina (FDA) meluluskan vaksin Covid-19 Hayat-Vax yang dicipta di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk kegunaan kecemasan.

Vaksin Hayat-Vax yang didermakan UAE itu, sama seperti  vaksin Sinopharm dari China dan akan diberi kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas.

Related posts

Leave a Comment