Hari Kebangsaan Singapura sederhana

SINGAPURA menyambut Hari Kebangsaan hari ini, 9 Ogos secara sederhana dan ringkas akibat Covid-19 dengan mengadakan Perbarisan Istiadat daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team yang berlangsung di Pentas Terapung @ Marina Bay.

Dengan jemputan terhad termasuk para Menteri Kabinet, Anggota Parlimen dan kakitangan barisan hadapan – sekitar 100 orang,  jauh lebih kecil berbanding 27,000 orang yang biasanya dapat ditampung di sana.

Perbarisan disertai 600 peserta kurang sepertiga daripada jumlah yang menyertai perbarisan-perbarisan sebelum ini di pentas tersebut.

Jumlah yang dikurangkan itu adalah antara beberapa langkah keselamatan yang diambil ketika negara ini meraikan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-56 di tengah-tengah usaha memerangi Covid-19.

Ketika kontinjen berbaris ke platform terapung, mereka – buat julung-julung kalinya – disertai hampir 200 peserta lain secara maya termasuk anggota kumpulan seragam dari sembilan sekolah menengah, serta 12 badan sosial dan ekonomi, seperti Singapore Airlines dan Families for Life.

Anggota setiap kontinjen, berdiri dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain, memakai pelitup putih dan berpakaian seragam.

Menyusuli ketibaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, kumpulan pancaragam gabungan memainkan lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini, “The Road Ahead”, disambut oleh tepukan gemuruh daripada kumpulan kecil penonton yang hadir.

Tidak lama kemudian, Presiden Halimah Yacob tiba dan ketika di podium, Lagu Kebangsaan dimainkan – juga petanda bermulanya terbang lalu bendera negara.

Sebuah helikopter Chinook terbang membelah latar langit bandar dengan mengibarkan bendera Singapura, sementara dua helikopter Apache mengekorinya – salah satu acara yang begitu sinonim dengan sambutan Hari Kebangsaan Singapura.

Related posts

Leave a Comment