60 kes baharu di Thailand

BANGKOK 9 Mac – Thailand merekodkan 60 kes baharu Covid-19 di mana 43 adalah kes tempatan dan 17 import menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 26,501. Tiada kematian baharu dilaporkan dan jumlah kekal 85 orang.

Sebanyak 22 kes direkodkan di hospital manakala 21 lagi melibatkan pengesanan dalam komuniti.

Samut Sakhon mencatatkan 38 kes baharu iaitu 19 disahkan di hospital  yang melibatkan 15 warga Myanmar dan empat Thai manakala 19 kes melibatkan warga Myanmar melalui pengesanan dalam masyarakat.

Pathum Thani merekodkan tiga kes iaitu dua di hospital dan satu dalam masyarakat, sementara Bangkok dan Nonthaburi pula masing-masing mencatatkan satu kes.

Sementara itu, bagi 17 kes import pula, melibatkan mereka yang dikuarantin sejurus ketibaan dari Sudan (1), Myanmar (1), Russia (1), Jerman (1), Amerika Syarikat (1), United Kingdom (4) dan Emiriyah Arab Bersatu  (6).

Dua lagi adalah melibatkan dua lelaki warga Myanmar berusia 23 dan 24 tahun yang masuk melalui sempadan dari Malaysia.

Daripada 26,501 kes, sebanyak 25,851 (97.55%) telah pulih termasuk 17 yang sembuh hari ini manakala 565 masih menerima rawatan.

Related posts

Leave a Comment