101.1% populasi dewasa dapat 1 dos

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Sejumlah 101.1 peratus atau 6,229,542 populasi dewasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pencapaian itu adalah hasil Operasi Lonjakan Kapasiti pemberian vaksin Covid-19 di Lembah Klang yang bermula 26 Julai lalu.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) bagaimanapun memaklumkan, kadar pemberian vaksin melebihi 100 peratus kerana data jumlah populasi sedia ada belum mengambil kira perubahan saiz penduduk selepas bancian terakhir, selain vaksinasi kepada penduduk tanpa dokumen.

Penasihat Khas (Sains) kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam, berkata dengan peningkatan jumlah penerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, ia akan mula menunjukkan kesan daripada segi penurunan kes harian COVID-19 di Lembah Klang bermula bulan depan.

“Secara rasminya, kita sudah melepasi anggaran jumlah penduduk dewasa di Lembah Klang dengan 101.1 peratus.

“Ini adalah hasil Operasi Lonjakan Kapasiti dan vaksinasi pekerja asing, di samping pemberian vaksin secara terus atau ‘walk-in’.

“Diharapkan kesan positif daripada lonjakan jumlah penerima vaksin ini dapat dilihat bermula bulan depan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Setakat semalam, data JKJAV menunjukkan 51.5 peratus atau 3,172,360 penduduk dewasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah menerima dos lengkap vaksin, sekali gus Lembah Klang semakin menghampiri imuniti kelompok.

Related posts

Leave a Comment