Brunei ambil langkah kawalan

BERAKAS 8 Ogos. – Selepas mencatatkan tujuh kes tempatan semalam, kali pertama selepas lebih setahun, Brunei Darussalam mengambil langkah memperketatkan semula langkah-langkah pengawalan  selama dua minggu.

Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md. Isham Jaafar  berkata, langkah tersebut yang berkuat kuasa serta merta termasuk mengehadkan perkumpulan ramai kepada 30 orang, serta menutup masjid, balai ibadat, surau dan tempat ibadat yang lain.

“Sekolah, institusi pengajian tinggi, kelas tuisyen, kelas muzik dan kelas berkeperluan khas akan memulakan sistem pembelajaran secara dalam talian (online),” katanya

pada Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan semalam.

Kali terakhir Brunei Darussalam merekodkan kes tempatan adalah pada 6 Mei 2020 dan setakat ini mencatatkan 347 kes termasuk 199 kes import.

Menurut Dr. Awang Md Isham, majlis keramaian hendaklah ditangguh manakala restoran dan premis makanan yang lain, termasuk gerai hanya dibenarkan menjual makanan secara ‘take-away’ atau ‘delivery’ sahaja dan ‘dine-in’ tidak dibenarkan.

Begitu juga penutupan gym, pusat kecergasan, fasiliti sukan ‘indoor’ dan ‘outdoor’, ‘leisure centres’, panggung wayang, internet kafe, taman permainan kanak-kanak, sekolah memandu, muzium, perpustakaan, galeri, salon kecantikan dan kedai gunting rambut.

Syarikat dan pejabat pula melaksanakan Business Continuity Plan masing-masing, termasuk mempertimbangkan kaedah Work From Home dan hanya petugas-petugas penting (essential workers) sahaja dibenarkan bertugas di pejabat.

Sementara itu, premis-premis lain, termasuk pasar, tamu, pasar raya, premis perniagaan runcit dan barang keperluan harian,  adalah dibenarkan beroperasi dengan melaksanakan langkah-langkah penjarakan fizikal. 

Bagi menghadapi penularan Varian Delta , Kementerian Kesihatan juga mengeluarkan arahan supaya pelitup muka dipakai setiap masa, terutama apabila berada di dalam bangunan atau di tempat sesak.

Menurut Dr. Awang Md. Isham, arahan itu dikenakan kepada semua individu  tanpa mengira status vaksinasi masing-masing.

Beliau juga menasihatkan orang ramai mengelak daripada pergi ke tempat-tempat awam, termasuk pusat membeli-belah tanpa tujuan atau keperluan penting dan adalah lebih selamat mereka duduk di rumah.

(foto hiasan Masjid Kg Bunut)

Related posts

Leave a Comment