PUTRAJAYA 8 Ogos – “Duduk di rumah, tolong hadkan pergerakan dan perjumpaan skala lebih besar. Patuhi semua SOP, penting pemakaian pelitup muka dan elak berada dalam ruang yang mempunyai aliran udara teruk dan tempat yang sesak,”
Itu antara pesanan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga berikutan ‘keupayaan’ varian Delta yang dianggap dominan dan cepat menular.
Beliau berkata langkah paling penting ketika ini yang perlu dipraktikkan semua pihak ialah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mencegah penularan varian Delta.
Beliau berkata, penting ketika ini bukan sahaja pematuhan pada langkah kesihatan awam malah kombinasi displin yang tinggi selain mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 adalah perlindungan terbaik.
“Sila dapatkan vaksin. Kita bergantung pada langkah-langkah kesihatan awam dengan kepatuhan dan displin yang kuat serta perlindungan dalaman dengan vaksinasi,” katanya dalam hantaran yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook hari ini.
Varian Delta adalah varian membimbangkan (VOC) yang dikesan pada akhir 2020 di India, kini menghantui dunia apabila varian itu mengganas dengan kadar penularan yang pantas sehingga menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di banyak negara.
VOC berlaku disebabkan mutasi spike protein virus SARS-CoV 2 yang lebih mudah berjangkit pada kadar penularan lebih pantas selain gejala dan komplikasiya yang lebih teruk.
Ia juga boleh merebak dalam masa 15 saat saja dan merebakkan jangkitan melalui udara.
Varian itu dilaporkan sudah ‘menjajah’ kira-kira 124 wilayah seluruh dunia.