Singapura longgar sekatan

SINGAPURA 7 Ogos – Dengan kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan penduduk, Singapura kini melonggarkan beberapa sekatan termasuk menambah jumlah peserta dan had kapasiti acara besar sehingga 500 dan 1,000 orang.

Mulai 10 Ogos ini, had kapasiti atau peserta dinaikkan kepada 500 orang untuk acara termasuk perhimpunan keagamaan,  ibadah secara berjemaah, panggung wayang, persembahan langsung, majlis pernikahan dan persandingan.

Bagaimanapun jumlah itu tertakluk kepada mereka yang sudah mendapatkan vaksinasi penuh.

Menurut Kementerian Kesihatan, jika semua tetamu divaksinasi sepenuhnya, acara bagi perhimpunan agama dan ibadah secara berjemaah, pawagam, persembahan langsung dan acara sukan dengan penonton akan ditambah kepada 500 orang.

Jika tidak, hanya 50 hadirin akan dibenarkan tanpa ujian sebelum acara.

Membuka pelitup dan menyanyi atau bermain alat muzik tiupan semasa persembahan secara langsung boleh disambung semula untuk  penghibur yang selesai divaksinasi.

Bagi upacara pernikahan di luar – yang tidak diadakan di rumah atau di bangunan Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pendaftaran Perkahwinan Muslim (ROMM) – ia boleh dihadiri sehingga 500 orang termasuk pasangan pengantin tetapi tidak termasuk kadi dan vendor sekiranya semua hadirin sudah lengkap vaksinasi.

Jika tidak, hanya 50 hadirin yang akan dibenarkan tanpa ujian pra-acara.

Mulai 10 Ogos juga, majlis persandingan akan dibenarkan dengan sehingga 250 orang yang dibahagikan kepada lima orang semeja jika semuanya sudah selesai divaksinasi.

Menurut MoH, sekatan ini akan dilonggarkan lagi mulai 19 Ogos. sekiranya keadaan Covid-19 tetap terkawal,

Perhimpunan keagamaan, pawagam, acara MICE, pertunjukan secara langsung, acara sukan dengan penonton dan majlis pernikahan mungkin boleh dihadiri sehingga 1,000 orang yang semuanya sudah divaksinasi sepenuhnya.

Peraturan bekerja dari rumah juga akan dilonggarkan bermula 19 Ogos, apabila sehingga 50 peratus yang bekerja dari rumah dibenarkan kembali ke tempat kerja.

Pada masa yang sama, imbasan suhu badan di tempat awam juga akan dimansuhkan.

Mulai 19 Ogos juga, kapasiti operasi di tempat daya tarikan dan pelayaran akan ditambah daripada 25 peratus sekarang menjadi 50 peratus,

Muzium dan perpustakaan awam juga akan dibenarkan untuk menambah kapasiti operasi hingga 50 peratus manakala had di pusat beli-belah dan ruang pameran akan dinaikkan dari 16 meter persegi keluasan kasar setiap orang kepada 10 meter persegi setiap orang.

(foto hiasan fb MUIS)

Related posts

Leave a Comment