‘Iktiraf’ Sinovac, Sinopharm, AZ

SINGAPURA 7 Ogos – Mereka yang memilih vaksin Covid-19 Sinovac atau vaksin-vaksin yang lain di bawah senarai kegunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) akan dianggap sudah divaksinasi penuh mulai Selasa depan.

Ini bermakna mereka yang menerima dua dos vaksin Sinovac, Sinopharm dan AstraZeneca dan melepasi tempoh dua minggu setelah mengambil dos kedua, layak bagi langkah pengurusan selamat vaksinasi dibezakan seperti makan di kedai makanan dan minuman (F&B) beramai-ramai dan melakukan perjalanan.

Sebelum ini, ia hanya ditawarkan kepada mereka yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna di bawah program vaksinasi nasional.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata, Singapura mengambil pendekatan lebih “inklusif” untuk mengesahkan vaksin yang diluluskan di bawah senarai kegunaan kecemasan WHO.

“Apa yang penting sekarang adalah perbezaan antara mereka yang sudah divaksinasi dan belum divaksinasi, “ katanya pada sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian semalam.

Setakat 5 Ogos, 78 peratus penduduk Singapura sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 di bawah program nasional. Dua pertiga sudah menerima dua dos vaksin.

Menjelang Hari Kebangsaan pada 9 Ogos, sekitar 70 peratus penduduk dijangka selesai menerima kedua-dua dos suntikan vaksin.

Related posts

Leave a Comment