GRS Sabah tidak tergugat

KOTA KINABALU 4 Ogos – Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak tergugat dengan situasi politik semasa di Kuala Lumpur yang menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan cabaran untuk mempertahankan kedudukan.

Dalam kenyataan medianya semalam, Ketua Menteri, Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS, berkata pemimpin gabungan itu mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama dalam kerajaan negeri berdasarkan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, September tahun lalu.

Beliau berkata, keputusan mengekalkan kerjasama itu dimaklumkan oleh semua pemimpin komponen GRS selepas beliau berkomunikasi dengan mereka berikutan perkembangan politik terkini di ibu negara.

“Kami sependapat dan sebulat suara bersetuju bahawa kerjasama dalam kerajaan negeri yang memerintah hari ini, akan berterusan.

“Kami akan terus mendukung mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya negeri yang lalu,” katanya.

Hajiji berkata semua pemimpin GRS juga sepakat untuk mengambil apa saja langkah yang perlu untuk memantap dan memperkuatkan lagi kerajaan GRS.

Saya berdoa semoga kemelut politik di Kuala Lumpur dapat diselesaikan dengan segera secara baik dan saksama supaya kita dapat menumpukan perhatian dalam usaha menangani ancaman pandemik Covid-19, pemulihan ekonomi dan kestabilan politik,” katanya.

GRS dianggotai komponen PN negeri yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pas dan Parti Maju Sabah (SAPP), selain komponen Barisan Nasional (BN) Sabah iaitu UMNO Sabah, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

Related posts

Leave a Comment