Lagi 3 kes import Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN 31 Julai – Tiga lagi kes import dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Brunei Darussalam meningkat kepada 336 orang dengan tiga kematian.

Kementerian Kesihatan memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan kes, sebanyak 195 adalah kes import.

Dua kes baharu yang dilaporkan semalam , lelaki 29 dan 33 tahun adalah terdiri daripada lima anak kapal MMA Privilige, yang masih menjalani kuarantin.

Dengan perkembangan ini, bermakna 15 daripada sejumlah 18 kru kapal MMA Privilige didapati positif dan tiga lagi masih menjalani kuarantin.

Satu lagi kes melibatkan seorang wanita, berumur 36 tahun, yang tiba ke negara ini   dari Kuala Lumpur pada 16 Julai 2021.

Beliau mengalami batuk dan demam panas sejak 19 Julai 2021. Pengesanan kontak mendapati tidak ada kontak terdekat bagi kes ini.

Sementara itu, satu kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk pemantauan, manakala yang selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan bahawa setakat ini, Brunei Darussalam mencatatkan 450 hari kes sifar, iaitu bagi kes terakhir jangkitan tempatan Covid-19 sejak laporan terakhir dicatatkan, pada 6 Mei 2020.

Menurut Kementerian Kesihatan lagi, 55 kes aktif menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan satu kes pula dilaporkan sembuh, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh setakat ini seramai 278 orang.

Mengenai status vaksinasi Covid-19,  seramai 3,378 menerima suntikan vaksin pada 20 Julai 2021 manakala 132,446 (29.2 peratus) sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 27,508, iaitu sekitar 6.1 peratus pula menerima dua dos suntikan vaksin, manakala seramai 22,690 warga emas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Related posts

Leave a Comment